Kewajipan Berzakat

Pengertian Zakat

Dari segi bahasa, zakat bererti bersih, subur dan berkembang.

Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya. Contoh jenis-jenis zakat ialah zakat pendapat, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat emas, zakat perak, zakat ternakan, zakat tanaman dan zakat fitrah.

Dalil Wajib Mengeluarkan Zakat

Ibadat Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Dalil wajib ini antaranya berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan dirikanlah olehmu solat dan tunaikanlah zakat dan ruku’lah (iaitu berjemaah) bersama-sama orang yang ruku’ “.
                                                                                                                  Al-Baqarah : Ayat 43

 

Zakat merupakan satu proses untuk menyucikan harta seseorang. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengan itu engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan (mereka dari akhlak yang buruk)”‘
                                                                                                                   At-taubah : Ayat 103

 

Pengertian “menyucikan” bermaksud membuang sifat kikir, tamak haloba serta bakhil dalam diri seseorang, manakala jika dilihat dari perspektik si miskin pula ia dapat menyucikan diri dari iri hati, dengki serta menaruh perasaan dendam terhadap orang yang kaya.

Membersihkan diri pula bermakna, mengembalikan hak-hak orang miskin yang telah ditentukan dalam harta ataupun pendapatan seseorang. Ini diperjelaskan lagi dalam firman Allah S. W. T. yang bermaksud:

“Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri dari meminta”.

                                                                                                                    Adz-Zaariat: Ayat 19

Dalam ayat yang lain, firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakan sebahagian hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi…”.

                                                                                                                  Al-Baqarah : Ayat 267

Oleh yang demikian, kewajipan menunaikan zakat menjadi tanggungjawab setiap orang Islam apabila cukup syarat-syarat wajib zakat.

Syarat Wajib Zakat

  1. Islam
    – Dikenakan atas orang Islam.
  2. Merdeka
    -Orang Islam mestilah merdeka sepenuhnya. Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.
  3. Sempurna Milik
    -Harta yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh seseorang.
  4. Cukup Nisab
    -Paras minima yang menentukan sama ada sesuatu harta diwajibkan zakat.  Nisab bersamaan dengan berat 85 gram nilai emas semasa.
  5. Cukup Haul
    -Genap setahun harta itu disimpan.
  6. Niat Berniaga
    -Untuk memperoleh keuntungan (zakat peniagaan sahaja).
Chat Sekarang
Selamat Sejahtera. Saya Iman ada yang boleh saya bantu?